RSS

MATEMATIK DI SEBALIK KEMEGAHAN SENIBINA


Salah satu cabang matematik yang mempunyai kaitan rapat dengannya, iaitu bidang senibina menjadi pilihan untuk edisi bulan ini. Secara faktanya, suatu ketika dahulu sehinggalah kini, senibina merupakan sebahagian daripada topik matematik yang saling berhubungan. Dewasa ini, matematik terus mengorak langkah kehadapan apabila teknologi komputer memainkan peranan penting dalam pengajian dan penemuannya. Matematik menjadi alat penyelesaian masalah dalam pelbagai bidang dan antaranya ialah senibina.

Gambar menunjukkan konsep matematik, trigonometri digunakan bagi pembinaan piramid.

Secara umumnya, matematik pada asasnya merupakan pemahaman mengenai paten dan corak, maka di sini kita dapat melihat bahawa hubungannya dengan senibina menjadi semakin jelas. Matematik dan senibina sering dikaitkan dalam pencarian susunan dan keindahan terutama dalam proses lakaran bentuk bangunan. Konsep rekabentuk bangunan yang berasaskan sistem geometri matematik adalah seperti segiempat tepat, bulatan, segiempat sama dan tiga dimensi.

Dari sudut sejarah, ahli matematik juga merupakan seorang arkitek yang telah mendirikan bangunan-bangunan atau menara yang hebat dan tersergam indah seperti piramid, ziggurat, tokong-tokong dan sebagainya. Pada zaman Greek dan Rome lama, arkitek diminta untuk menjadi ahli matematik. Jelas bahawa kedua-dua bidang ini saling berhubungan. Tradisi ini diteruskan sehingga ke zaman pemodenan islam. Perkembangan matematik ekoran daripada penggunaan nombor-nombor dari tamadun islam.

Salah satu pengaruh matematik yang ketara dalam bidang senibina ialah Pythagoras. Pythagoras menganggap bahawa ‘semua benda adalah angka’. Ini mempunyai signifikasi yang jelas terhadap senibina. Antara kejayaan beliau ialah penemuan pembahagian ‘ratio’ atau nisbah melalui integer terkecil. Penemuan ini membolehkan para arkitek merekabentuk bangunan menggunakan nisbah integer terkecil. Angka bagi Pythagoras juga, merupakan kajian dan pemahaman mengenai bentuk dan bentuk ditentukan daripada angka. Selain itu, beliau telah mengembangkan tanggapan estetik perkadaran. Kegunaan simetri diaplikasikan dalam senibina. Perkataan simetri berasal daripada bidang senibina Greek lama iaitu, ‘symmetria’ yang bermaksud pengulangan bentuk dan nisbah yang digunakan daripada bahagian terkecil dalam sebuah bangunan terhadap keseluruhan strukturnya. Ini membuktikan konsep daripada Pythagoras memberi impak kepada bidang senibina di Greek.

Nama seperti Leonardo da Vinci merupakan seorang yang tidak asing lagi dalam dunia seni lukisan. Tetapi tahukah anda bahawa beliau juga terlibat dalam bidang senibina?  Walaupun nama Leonardo da Vinci membuatkan semua orang mengingati keindahan lukisan beliau semata-mata, atau lebih spesifik lagi, potret monalisa, namun di sebalik itu beliau adalah seorang yang amat tertarik dan terpesona dengan matematik. Senibina merupakan salah satu kepakaran beliau dan mempelajari teori-teori dan prinsip-prinsip di sebaliknya. Beliau mempunyai pelbagai kebolehan dan minat. Beliau merupakan penasihat kepada ‘The Duke of Milan’ dalam bidang senibina. Kemudiannya, beliau telah dinobatkan sebagai ‘pelukis, arkitek dan mekanik pertama raja’ oleh Raja Francis I (French).
Kini senibina menjadi satu simbol kemegahan bagi sesebuah negara. Ianya secara tidak langsung cuba menarik perhatian dunia di atas kewujudannya dan memberitahu dunia bahawa sesebuah negara itu mampu bersaing di peringkat global. Contohnya negara kita, Malaysia, yang mempunyai menara ketiga tertinggi dunia, iaitu menara berkembar petronas (KLCC) yang menjadi kebanggaan setiap rakyatnya. Kesimpulannya, bidang senibina sentiasa mencuba untuk mencapai satu pencapaian dimana ia bukan sahaja berkenaan dengan fungsi malah nilai estetik, falsafah dan makna juga dititikberatkan. Di sebalik keindahan senibina yang gah, hampir kesemuanya adalah saling berkait rapat dengan keindahan dan struktur matematik. Sehingga kini, penggunaan matematik sentiasa cuba ditingkatkan dalam kesemua bidang di seluruh dunia.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: